Ops Benteng kawal 'lorong tikus' Pati




  PENGAWALAN sempadan terutama 'lorong tikus' perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada jangkitan baru di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini kawalan wabak Covid-19 di Malaysia adalah baik iaitu pada sekitar satu atau dua angka.
Katanya, sehubungan itu, Ops Benteng yang diadakan secara bersepadu antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia dan polis bagi mengawal 'lorong tikus' di sempadan negara memainkan peranan penting.
Katanya, menerusi operasi berkenaan, pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan, disaring dan dimasukkan ke dalam lokap.
"Jadi kita memastikan lorong tikus dapat dikawal. Kita dapat tangkap 50 Pati yang datang ke negara kita. Selepas ditangkap kita jalankan saringan dan dapati tujuh kes positif.
"Kita harap dapat dipertingkatkan dan diteruskan untuk tempoh empat bulan akan datang," katanya pada sidang media harian, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes di negara luar juga membimbangkan dan pihaknya mengambil langkah proaktif susulan daripada itu.
"Kita lihat seperti seperti Korea yang mencatatkan dalam masa 10 hari sebanyak 2,600 kes direkodkan, di Sepanyol, ada 83,000 kes, kita dapati India dalam 24 jam terdapat 76,000 kes.
"Dengan kebimbangan kes makin meningkat, kita harus berhati-hati. Kita kena ambil tindakan supaya keadaan terkawal," katanya.